

Dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor melalui Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) serta rakan pelaksana, EcoKnights, dua program utama telah diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan pelajar sekolah dalam usaha menangani perubahan iklim. Program tersebut ialah Cabaran Tindakan Iklim Rakan BUMI dan Pertandingan Penceritaan Iklim Suara BUMI. Kedua-dua program ini memfokuskan kepada pelaksanaan projek komuniti dan penceritaan kreatif bertemakan iklim dan bumi sebagai usaha meningkatkan kesedaran pelajar sekolah terhadap kelestarian. Inisiatif ini berperanan sebagai platform untuk membentuk pelajar yang proaktif, berpengetahuan dan berkemahiran dalam mempengaruhi perubahan di peringkat akar umbi, selari dengan usaha memperkukuh daya tahan komuniti terhadap cabaran iklim semasa.
Cabaran Tindakan Iklim Rakan BUMI
Cabaran Tindakan Iklim Rakan BUMI merupakan program yang menggalakkan pelajar sekolah menengah awam di Selangor merancang dan melaksanakan projek berimpak tinggi di sekolah atau komuniti. Setiap sekolah dihadkan kepada maksimum dua penyertaan bagi mencapai matlamat utama program ini, iaitu meningkatkan kesedaran terhadap isu iklim menerusi pendekatan praktikal, di samping memupuk semangat inovatif serta tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Program ini memberi tumpuan kepada dua tema iaitu Projek Alam Sekitar dan Keterjaminan Makanan. Melalui tema Projek Alam Sekitar, pelajar boleh melaksanakan inisiatif seperti pengurangan penggunaan plastik, pengurusan sisa, kitar semula, aktiviti kompos, usaha meningkatkan kecekapan tenaga serta menambah baik atau memperluas projek alam sekitar sedia ada di sekolah.
Sementara itu, tema Keterjaminan Makanan memberi fokus kepada pembinaan kebun komuniti, taman herba atau projek akuakultur yang bukan sahaja berdaya saing malah meningkatkan pemahaman tentang keterjaminan makanan dalam konteks tempatan.
Bagi menyokong pelaksanaan projek, wakil guru dan kumpulan pelajar diwajibkan menghadiri sekurang-kurangnya tiga sesi bengkel secara atas talian anjuran program, meliputi proses mengenal pasti isu, membangunkan pelan tindakan, penglibatan komuniti serta kaedah menilai dan mendokumentasikan hasil. Pendekatan ini memastikan peserta bukan sahaja memahami isu alam sekitar, malah berupaya merancang serta melaksanakan solusi yang bersasar.
Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan kecekapan penggunaan sumber, keupayaan menyelesaikan masalah, penglibatan komuniti, kreativiti dan kualiti laporan. Penyertaan terpilih akan menerima Kit Pelaksanaan Projek Rakan BUMI bernilai sehingga RM7,000, sijil dan pengiktirafan PAJSK. Lebih istimewa, peserta juga berpeluang membentangkan projek mereka kepada Kerajaan Negeri sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan potensi projek untuk diperkembangkan.
Pendaftaran program dibuka mulai 1 November 2025 hingga 30 November 2025, manakala tempoh pelaksanaan projek berlangsung dari 1 Disember 2025 hingga 15 Mac 2026. Laporan akhir perlu dihantar sebelum 25 Mac 2026, dan pencapaian peserta bakal diraikan dalam majlis penutup pada April 2026 bersempena sambutan Hari Bumi.
Pertandingan Penceritaan Iklim Suara BUMI
Penceritaan memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran masyarakat. Oleh itu, Pertandingan Penceritaan Iklim Suara BUMI diwujudkan bagi mengangkat naratif komuniti mengenai perubahan iklim melalui seni visual kreatif. Terbuka kepada pelajar sekolah menengah awam di Selangor berumur antara 13 hingga 16 tahun, pertandingan ini menggalakkan penyertaan secara individu atau berkumpulan (maksimum lima orang) untuk menghasilkan karya yang mampu menyampaikan mesej berkaitan iklim dan bumi.
Pertandingan ini mengetengahkan tiga kategori:
1) Poster (A2) – Individu
2) Video Pendek (<1 minit) – Individu atau berkumpulan
3) Video Panjang (1–5 minit) – Individu atau berkumpulan
Melalui kategori ini, peserta berpeluang berkongsi pandangan dan pengalaman mereka berhubung lima tema utama:
• Kesedaran Inisiatif Kelestarian Alam
• Kisah Eco-Warrior dalam Komuniti
• Impak Perubahan Iklim
• Ketahanan Komuniti Terhadap Cuaca Melampau
• Peranan Generasi Masa Depan dalam Menyelamatkan Iklim
Untuk persediaan peserta, tiga bengkel akan dianjurkan secara atas talian bagi memperkenalkan isu iklim di Malaysia, teknik penjelajahan naratif dan strategi penyampaian berkesan melalui seni visual kreatif. Pendekatan ini membantu peserta memahami isu iklim bukan sekadar data, tetapi sebagai kisah manusia yang mencerminkan realiti komuniti tempatan.
Karya yang dihantar akan dinilai berdasarkan keberkesanan naratif, kualiti visual, keaslian, kesesuaian tema serta potensi untuk dikongsi secara meluas. Bagi mengiktiraf karya berkualiti, pelbagai ganjaran disediakan termasuk wang tunai, sijil, serta peluang menjalani latihan amali selama dua minggu bersama Media Selangor, Selangor Journal atau SCAC — pengalaman berharga untuk mempelajari dunia penghasilan kandungan secara lebih profesional.
Tarikh pendaftaran dan penghantaran karya adalah sehingga 5 Disember 2025. Sesi bengkel akan berlangsung pada hujung November 2025, diikuti pengumuman pemenang pada 19 Disember 2025. Pertandingan ini diyakini dapat membuka ruang kepada pelajar untuk menceritakan kisah-kisah tempatan berkaitan iklim, sekali gus menyemai kesedaran terhadap isu iklim dan bumi dalam kalangan masyarakat.
Penutup
Secara keseluruhan, Cabaran Tindakan Iklim Rakan BUMI dan Pertandingan Penceritaan Iklim Suara BUMI merupakan dua inisiatif strategik yang saling melengkapi —menumpukan kepada tindakan lapangan, sementara menekankan penceritaan sebagai medium kesedaran. Pelaksanaan kedua-dua program ini memberi peluang kepada pelajar untuk membina kemahiran, mendapatkan pengalaman serta membawa perubahan positif dalam tindakan komuniti bagi menangani isu iklim dan bumi. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, sila layari https://linktr.ee/rakanbumi.
Dengan sokongan sekolah, komuniti dan pihak berkepentingan, inisiatif ini dapat memperkasa pelajar untuk menjadi pemimpin alam sekitar masa depan. Kini tiba masanya untuk anak muda melangkah ke hadapan — merancang, berkarya dan menyuarakan perubahan demi bumi yang lebih lestari. Sertailah program ini dan jadilah suara yang membawa harapan!
Share this content
Chat on WhatsApp or send us an email to info@EcoKnights.org.my
Powered by WhatsApp Chat