Tingkatkan Kesedaran Perlindungan Alam Sekitar Melalui Anugerah Hijau 2015

bernama main

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Golongan muda boleh merebut peluang memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran bagi perlindungan alam sekitar secara kreatif menerusi pertandingan Anugerah Hijau 2015 yang terbuka kepada belia di seluruh negara.

Anugerah Hijau 2015 adalah pertandingan yang dianjurkan pertubuhan bukan mencari keuntungan, EcoKnights dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) serta pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad.

Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid berkata pertandingan itu bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu untuk menunjukkan bakat dan kemahiran inovatif mereka dalam bidang seni bina, muzik dan ciptaan.

"Pertandingan ini mempunyai tiga kategori kompetitif, 'Green Space' (seni bina lestari), 'Green Music' (lagu-lagu bertemakan alam sekitar) dan 'Green Innovation' (penciptaan produk inovasi dan barangan terpakai yang dikitar semula) untuk belia berumur antara 16 dan 29 tahun untuk bersaing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Anugerah Hijau 2015, di sini pada Isnin.

Yasmin berkata pada tahun ini, peserta kategori 'Green Space' perlu mereka bentuk modular bantuan bencana perlindungan yang berterusan.

"Kategori lain termasuk kategori 'Green Innovation' yang ditaja oleh AIM yang memerlukan produk barangan terpakai yang dikitar semula secara lestari dan kategori 'Green Music' di mana peserta perlu mencipta banyak lagu alam sekitar.

"Kami menyasarkan 350 permohonan dalam semua kategori dan mereka akan diadili berdasarkan secara praktikal dalam reka bentuk, penggunaan lestari, kecekapan tenaga, penggunaan lestari bahan-bahan, reka bentuk dalaman yang pintar dan perlu menjadi modular," katanya.

Beliau berkata 10 peserta akhir yang disenarai pendek dalam setiap kategori berpeluang menghadiri bengkel pada Jun ini, sebelum keputusan pertandingan tersebut diumumkan pada 18 Okt.

"Bengkel ini yang akan dikendalikan panel juri daripada pelbagai kepakaran dalam setiap kategori akan membantu peserta akhir untuk memperbaiki dan menyemak semula reka bentuk dan menyediakan mereka dengan beberapa tips yang praktikal," katanya.

Juara setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, trofi pewter, baucar buku, produk eko dan sijil, manakala naib juara dan ketiga, masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 beserta trofi pewter, baucar buku, produk eko dan sijil.

Juara kategori Green Space juga akan ditawarkan latihan selama tiga bulan di bawah bimbingan pakar-pakar industri daripada LBS Bina Group Berhad.

Golongan belia berusia antara 16 dan 29 tahun digalakkan mengambil bahagian secara individu atau dalam kumpulan sebanyak tiga peserta, dengan mengemukakan borang dalam talian beserta cadangan masing-masing ke laman rasmi Anugerah Hijau, http://anugerahhijau.my/ sebelum 28 Jun.

Source: BERNAMA