500 peserta jayakan jalan santai Sungai Bunus

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Hampir 500 peserta menjayakan program berjalan santai di Sungai Bunus (Bunus FW4R 2018) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Komuniti Sungai Bunus di Taman Rekreasi Kolam Tebatan Banjir Sungai Bunus, di sini, hari ini.

Acara jalan kaki santai sejauh 3.5 kilometer yang dimulakan seawal 7 pagi dan disertai pelbagai lapisan masyarakat itu dianjur bagi menjana dana pembangunan projek pertanian bandar di beberapa kawasan di sepanjang tebing Sungai Bunus.

Pengerusi Komuniti Sungai Bunus, Yasmin Rashid berkata beliau bersyukur program itu mendapat sambutan yang menggalakkan serta berjaya mencapai sasaran dana yang ditetapkan.

“Alhamdulilah, program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, saya harap ia boleh memupuk kesedaran awam yang lebih tinggi terhadap sungai disamping kita semua dapat belajar bagaimana mengurangkan impak negatif kepada sungai.

“Kita telah mencapai sasaran RM15,000 dan dana ini akan digunakan dengan sebaiknya bagi program mesra alam dan aktiviti penanaman pokok di sini,” katanya yang juga presiden EcoKnights kepada Bernama.

Program yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Projek Local Agenda 21 (LA21) yang dilaksanakan DBKL itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mahadi Che Ngah.

Shahruddin berkata adalah menjadi tanggungjawab warga kota dan pihak berkepentingan untuk memastikan sungai berada dalam keadaan baik dan bersih.

“Sungai Bunus kini berada di tahap empat iaitu tahap nazak. Jika tidak dijaga ia boleh membahayakan diri kita semua. 

bunuswalk


"Pujian harus diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menganjurkan program kesedaran sebegini kerana ia sangat penting bagi memastikan setiap rakyat memahami akan tanggungjawab mereka,” katanya selepas merasmikan program tersebut.

Selain acara berjalan santai, pelbagai aktiviti bertemakan alam sekitar dijalankan pada program tersebut, antaranya menanam pokok, menilai kualiti air, mengecat batu dan mengenal pasti spesis pokok.

-- BERNAMA

 

Source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1647912

Follow Us

Subscribe Newsletter

Get our periodic news in your inbox!

captcha  

Exclusive EcoKnights official merchandise powered by 3ciety.com